Friday, May 21, 2021

Gaza aman, gencatan senjata bertahan

 BANDAR GAZA – Gencatan senjata antara Israel dan pergerakan Hamas bertahan semalam selepas 11 hari pertempuran sengit berlaku yang menyaksikan Semenanjung Gaza diserang bertubi-tubi, manakala ramai penduduk Israel terpaksa mencari perlindu­ngan daripada bedilan roket.

Bandar Gaza sunyi dengan kepulan asap naik ke udara selepas Israel menghentikan sera­ngan udaranya lewat semalam, lapor seorang wartawan agensi berita AFP.

Tidak lama kemudian, berita gembira itu disambut di Gaza dengan rakyat Palestin membunyikan hon kereta dan sebilangan mereka melepaskan tembakan ke udara, manakala di Tebing Barat, orang ramai keluar ke jalan-jalan untuk meraikan keamanan tersebut.

Gencatan senjata itu bertahan dengan bunyi siren amaran roket tidak lagi kedengaran di Israel.

Penduduk di kedua-dua belah pihak menyuarakan perasaan lega bahawa gencatan senjata yang dinanti-nantikan akhirnya terlaksana.

WARGA Palestin melintasi bangunan
Al-Shuruq yang musnah dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza semalam. – AFP

“Ia adalah keputusan yang baik kerana sejujurnya, penduduk di kedua-dua belah pihak (Israel dan Palestin) sudah bosan tentang apa yang berlaku,” kata Amwrah Dana yang merupakan warga Baitulmuqaddis berketurunan Palestin.

Penduduk Tel Aviv, Avital Fast berkata, dia berharap genca­tan senjata itu mampu bertahan.

“Saya harap ia akan kekal kerana apa yang kami mahu sekarang adalah meneruskan kehidupan tanpa bunyi siren atau tembakan,” katanya.

Perjanjian tersebut yang ditaja oleh Mesir, turut melibatkan kumpulan bersenjata kedua pa­ling kuat di Gaza, Jihad Islam.

Pelaksanaannya menjadi rea­liti susulan tekanan masyarakat antarabangsa supaya pertumpahan darah yang tercetus sejak 10 Mei lalu ditamatkan.

Perjanjian itu turut disambut baik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

“Saya percaya kami mempunyai peluang sebenar untuk mencapai kemajuan dan saya komited untuk bekerja ke arah itu,” kata Biden di White House sekali gus memuji peranan Mesir sebagai orang tengah.

PENDUDUK Yahudi menjamu selera di Dataran Abima di bandar raya Tel Aviv kelmarin. – AFP

Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyebut, Kabinet Keselamatan sebulat suara meluluskan saranan pegawai-pegawai keselamatan Israel untuk menerima inisiatif genca­tan senjata oleh Mesir tanpa sebarang prasyarat.

Hamas dan kumpulan Jihad Islam turut mengesahkan gencatan itu dalam beberapa kenyataan.

“Ini kemenangan yang paling meng­embirakan,” kata pemimpin ka­nan Hamas, Khalil al-Hayya di hadapan beribu-ribu rakyat ­Palestin yang membanjiri jalan raya untuk meraikan berita tersebut.

Serangan Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu telah membunuh seramai 232 rakyat Pa­lestin termasuk 63 kanak-kanak dan mencederakan 1,900 yang lain, demikian menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kawasan luas di Gaza juga menjadi padang jarak akibat serangan udara Israel, manakala kira-kira 120,000 orang menjadi pelarian, kata Hamas.

Tentera Israel berkata, Hamas dan kumpulan bersenjata Islam lain di Gaza telah membedil lebih 4,300 roket ke arah Israel sepanjang konflik tersebut tetapi sebahagian besar senjata itu dipintas dan dimusnahkan oleh sistem pertahanan ‘Kubah Besi’ Israel.

Bedilan roket itu meragut 12 nyawa di Israel termasuk dua kanak-kanak di samping seorang rakyat India dan dua warganegara Thailand, kata polis Rejim Zionis. – AFP

No comments:

Post a Comment

Trendzsetter Bakal Cungkil Bakat Pengkarya Kreatif & Pencipta Kandungan Malaysia

   Pengarah Urusan Trendztok Fakhrudiin Afiq (kiri) bersama Pengarah Urusan Mayard    Integrated   Mayumi Kasuga (kanan) Kuala Lumpur, 14/10...